PEKASiH PAHANG

PEKASiH Pahang santuni orang asal

11 Januari 2025

Julung kalinya PEKASiH PAHANG mengadakan aktiviti untuk pembukaan tahun 2025 dengan pemberian bakul makanan kepada golongan sasaran terdiri daripada golongan asnaf, orang kurang upaya, pesakit kronik dan masyarakat orang asli di kawasan sekitar.

Kunjungan mesra yang pertama dimulakan di rumah Encik Hamirun di Felda Sungai 1. Beliau telah selesai menjalani dua pembedahan kecil di bahagian kaki dan sedang dalam proses rawatan dan pemulihan.

Seterusnya kami melawat perkampungan orang asal di Dusun Pak Senam yang terletak di Kuala Koyan. Seramai 24 orang penerima telah dikenalpasti dan sumbangan bakul makanan berjaya diserahkan secara terus kepada mereka. 

PEKASiH PAHANG juga membawa buah tangan berupa mainan "soft toy" dan baju untuk anak-anak di sini. Gembira melihat mereka teruja memilih barangan yang berkenan di hati. Terima kasih diucapkan kepada Anisa a/p Ramli, Rosni a/p Jantan, dan Fazira Binti Laksamana yang merupakan AJK PEKASiH PAHANG dari masyarakat orang asal yang sangat komited menjalankan tugasan mengenal pasti golongan sasar bagi penerima bantuan pada kali ini.

Bantuan bakul makanan diteruskan ke rumah seorang warga emas dikenali sebagai "Mekyah" di belakang pasaraya Segi Felda Sungai Koyan 1. Walaupun beliau bukan berstatus warganegara Malaysia, kami di PEKASiH MALAYSIA tetap prihatin membantu selari dengan pegangan kami ; "Kasih, Mesra, dan Prihatin".

Kunjungan kami dipanjangkan dengan melawat Puan Hawa di Felda Sungai Koyan 2. Beliau merupakan generasi kedua dan tinggal di rumah pusaka peninggalan orang tua. Kami meluangkan masa sebentar mendengar kisah beliau yang menghidap penyakit kronik dan tidak berapa upaya untuk menjalankan rutin harian lagi. 

Penutup kunjungan kami pada hari ini melawat Encik Jamal di Felda Sungai Koyan 3. Beliau sudah 4 tahun hilang upaya kekal dan kini bergantung sepenuhnya kepada anak dan isteri untuk menguruskan diri.

Terima kasih diucapkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Encik Amizudin Bin Ahmat ; Presiden PEKASiH MALAYSIA yang turun padang ditemani Encik Ridzuan dari Pekasih Selangor sudi menyertai program PEKASiH PAHANG pada kali ini.  Ianya menjadi penanda aras kami supaya terus bersemangat jitu dalam merangka lebih banyak program dan aktiviti kemasyarakatan agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada ramai penerima sasaran.

Besarlah harapan kami pada hari ini agar kunjungan dan lawatan dari PEKASiH Pahang sedikit sebanyak dapat menceriakan hari para penerima semua. Semoga berjumpa lagi di lain masa.

Pekasih Pahang KASIH - MESRA - PRIHATIN

Semua Berita